Jalan raya terputus, bangunan loji ranap akibat tanah runtuh

BELURAN – Sebuah bangunan milik Loji Rawatan Air Paitan ranap selain jalan raya Paitan –Kanibongan di Kilometer 127.5 terputus ekoran tanah runtuh berhampiran Kampung Kubambangan malam tadi.

Namun dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu tiada mengakibatkan kemalangan jiwa.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kassim Muda berkata, kejadian dipercayai akibat hujan lebat berterusan kebelakangan ini.

“Kejadian mengakibatkan jalan raya utama berdekatan loji air di Paitan mengalami runtuhan yang besar.
“Dalam masa sama, sebuah bangunan kuarters loji air menggelongsor berikutan runtuhan sama namun tiada kemalangan jiwa disebabkan tiada bekerja mendiami rumah berkenaan.

“Selain itu, laluan jalan raya berdekatan juga terputus dan tidak dapat di lalui,”katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Kassim berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah dimaklumkan mengenai perkara terbabit untuk tindakan baik pulih segera.

Sementara itu, beliau memaklumkan papan tanda amaran turut sudah dipasang bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya. -K! ONLINE

The post Jalan raya terputus, bangunan loji ranap akibat tanah runtuh appeared first on Kosmo Digital.