Irene sesali kisah lama

PENYANYI dan ketua kumpulan Red Velvet, Irene tampil dengan surat terbuka membuat permohonan maaf rentetan kontroversi yang membabitkan dirinya pada tahun lalu.

Meskipun mengakui sedikit terlambat untuk berbuat demikian, namun Irene tetap menjelaskan keadaan sebenar bahawa insiden tempoh hari berlaku disebabkan ketidaksempurnaan sebagai seorang manusia.

“Saya memulakan karier seawal usia 19 tahun tetapi sentiasa mahu lakukan yang terbaik.

“Saya fikir selama ini saya bergaul baik dengan semua orang, tetapi tidak terfikir cara komunikasi atau ekspresi saya akan menimbulkan masalah.

“Selepas insiden berkenaan, saya menerima banyak nasihat dan teguran daripada orang sekeliling termasuklah peminat. Daripada itu, saya belajar untuk muhasabah diri.

“Saya sedar ramai yang menyokong meskipun sebenarnya saya tidak layak menerimanya,” ujarnya.

Tidak mampu memutarkan kembali masa dan membetulkan apa yang sudah berlaku, Irene berjanji tidak akan mengulangi perkara sama selepas ini.

“Saya sedar betapa beratnya impak kata-kata dan tindakan kita jika tidak digunakan dengan betul. Saya berjanji akan jadi lebih matang,” katanya lagi.

Oktober tahun lalu, Irene mengundang kontroversi selepas didakwa bersikap biadap terhadap seorang jurugaya.

The post Irene sesali kisah lama appeared first on Kosmo Digital.