Guru mengaji laku amang seksual  dipenjara

KEMAMAN – Perbuatan serakah seorang guru mengaji al-Quran melakukan amang seksual terhadap seorang budak perempuan berusia 11 tahun yang juga muridnya berbalas apabila dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Azman Mustapha memutuskan hukuman demikian terhadap Mohd. Khairul Izzul Anang, 33, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menyangkal kes dikemukakan pihak pendakwaan.

“Tertuduh juga diperintahkan menjalani sesi kaunseling sepanjang dalam tahanan selain diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara,” katanya ketika membacakan penghakimannya di sini hari ini.

Mohd. Khairul yang berada di kamar pesalah dilihat mengalirkan air mata sebaik hukuman dijatuhkan sambilkan disaksikan isterinya di galeri awam.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual dengan menyebabkan kanak-kanak perempuan itu memegang alat sulit lelaki itu.

Perbuatan itu didakwa berlaku di sebuah rumah di Taman Desa Solehah, Kampung Mak Chili di sini antara pukul 2.30 petang hingga 5 petang, 2 Februari 2018.

Mengikut fakta kes, mangsa telah dihantar ke rumah tertuduh untuk mengikuti kelas pengajian al-Quran di rumah mangsa sebelum mengadu perbuatan tertuduh kepada ibunya sewaktu dijemput pulang pada hari tersebut.

Mohd. Khairul dituduh mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya,  Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, Akmal Wahidah Abd. Halim.

Hakim Azman membenarkan permohonan Akmal Wahidah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga proses rayuan dikemukakan di peringkat mahkamah  tinggi.

Beliau kemudiannya membenarkan Mohd. Khairul dibebaskan dengan wang jaminan RM10,000. – K! ONLINE

The post Guru mengaji laku amang seksual  dipenjara appeared first on Kosmo Digital.