Guna wang i-Sinar sewa lori angkut daun ketum

PENDANG: Seorang lelaki mengaku menggunakan wang yang baru dikeluarkan melalui i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyewa lori bagi mengambil upah mengangkut daun ketum di negeri ini.

Lelaki terbabit yang merupakan bekas pemandu bas ekspres dipercayai menyewa lori jenis bonded tiga tan itu pada 9 Januari lalu untuk mengangkut barangan termasuk daun ketum.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah berkata, suspek yang berusia 34 tahun ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Kubor Panjang di Jalan Kampung Tong Prok, Mukim Padang Kerbau di sini kira-kira pukul 12.45 tengah malam.

Menurutnya, anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah menahan lori tersebut selepas melalui kawasan itu dalam keadaan mencurigakan.

“Polis kemudian mengarahkan pemandu itu berhenti dan hasil pemeriksaan menemui sebanyak 80 beg kanvas dan guni berisi daun ketum seberat 1.5 tan yang bernilai RM22,000,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang di sini hari ini.

Menurut Arriz, siasatan mendapati suspek yang berasal dari Sungai Petani dekat sini mengambil bekalan daun ketum tersebut di Kuala Nerang, Padang Terap sebelum dihantar ke Seremban, Negeri Sembilan. 

Tambahnya, suspek yang telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak itu mengambil upah membawa daun ketum tersebut sebanyak RM2,000.

“Suspek dikatakan kehilangan kerja sebagai pemandu bas ekspres akibat pandemik Covid-19 pada Jun tahun lalu sebelum menawarkan khidmat penghantaran barang dengan menyewa sebuah lori.

“Dia dikatakan menyewa lori pada harga RM2,500 sebulan untuk menghantar pelbagai barangan termasuk perabot dan makanan, namun dicekup ketika cuba menyeludup ketum,” ujarnya.

Tambahnya, suspek yang negatif dadah dan tiada rekod lampau itu direman selama empat hari bermula semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya. -UTUSAN

The post Guna wang i-Sinar sewa lori angkut daun ketum appeared first on Utusan Digital.