Ebit Lew sumbang KFC dan pelitup muka kepada ‘frontliner’

PETALING JAYA – Pendakwah terkenal, Ebit Lew memberi sumbangan makanan dan pelitup muka kepada petugas barisan hadapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar Kuala Lumpur hari ini.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew berkata, sumbagan itu diberikan kepada tiga buah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu Tun H.S Lee, Dang Wangi, dan Sungai Buloh sebagai tanda penghargaan buat petugas barisan hadapan.

“Tadi ziarah beberapa balai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan hadiahkan mereka 500 bungkus ayam goreng KFC dan 25,000 keping pelitup muka. Beri sedikit kata semangat dan doa.

“Terharu dan terkesan dengan pengorbanan anggota. Mereka ‘frontliner’ negara kita. Hanya Allah SWT yang balas jasa dan pengorbanan mereka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dalam perkongsian itu, beliau juga melahirkan penghargaan kepada warga PDRM yang menyambut baik kedatangannya.

“Baik sangat semua OCPD semua balai. Semua dah siap menunggu dan semua minta doa dan beri kata-kata semangat pada anggota.

“Semoga Allah SWT satukan hati kita dan tarik musibah dari negara ini,” katanya. – K! ONLINE

The post Ebit Lew sumbang KFC dan pelitup muka kepada ‘frontliner’ appeared first on Kosmo Digital.