Bekalan minyak masak peket di Perak mencukupi

IPOH: Bekalan minyak masak peket satu kilogram untuk pasaran di negeri ini mencukupi dan terkawal.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Abdul Yunus Jamahri berkata, bagi negeri Perak, sebanyak 24 syarikat pembungkus diberi kuota berjumlah 3,003 tan metrik minyak masak bersubsidi sebulan.

“Pembungkusan dan pengedaran minyak masak peket dikeluarkan seperti biasa mengikut kuota yang diberikan sebanyak 60,000 tan metrik minyak masak bersubsidi disediakan setiap sebulan untuk diedarkan di seluruh negeri termasuk di kawasan luar bandar dan jumlah itu mencukupi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Yunus berkata, harga jualan runcit minyak masak botol menunjukkan kenaikan sejak kebelakangan ini ekoran trend peningkatan harga minyak sawit mentah di pasaran dunia.

Katanya, perkara itu antara lain mengakibatkan pengguna termasuk peniaga beralih menggunakan minyak masak peket berbanding botol berikutan perbezaan harga selain minyak masak peket yang diberikan subsidi oleh kerajaan.

“Di samping itu, pengguna dan peniaga juga dilihat berhati-hati ketika berbelanja kerana terkesan akibat pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia.

“Peralihan penggunaan ini menyebabkan permintaan terhadap minyak masak peket meningkat dan secara tidak langsung memberi kesan kepada keberadaan bekalannya di pasaran,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan penguat kuasa pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDEHEP) Perak mendapat,i wujud sedikit kekurangan bekalan minyak masak peket di beberapa kawasan negeri Perak.

Katanya, isu itu bagaimanapun turut berlaku di beberapa buah negeri di Malaysia.

“Namun, situasi ini tidak menjejaskan keseluruhan bekalan minyak masak peket di negeri Perak.

“Sehingga kini, Pejabat KPDNHEP negeri Perak tidak menerima aduan berkaitan dengan kekurangan bekalan minyak masak peket di negeri Perak malah penguat kuasa KPDNHEP telah diminta menjalankan pemeriksaan harian bekalan minyak masak di pasaran iaitu di setiap peringkat rantaian bekalan merangkumi pengilang, pemborong dan peruncit,” katanya.

Beliau berkata, bagi mengawal pembelian minyak masak peket di pasaran, jualannya turut dihadkan kepada hanya tiga unit bagi setiap transaksi berbanding lima sebelum ini bermula semalam. – UTUSAN ONLINE

The post Bekalan minyak masak peket di Perak mencukupi appeared first on Utusan Digital.