Bapa mentua muda mengaku salah cabul menantu tiri

KAJANG – Seorang pekerja kilang yang juga bapa mentua muda mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul menantu tirinya di sebuah rumah dua tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 30 tahun itu membuat pengakuan bersalah tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Syahrul Sazly Md. Sain.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan 23 Mac ini bagi pendengaran fakta kes dan jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sendiri itu didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mahu mencabul kehormatan seorang wanita berusia 31 tahun dengan cara memeluk mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di  Taman Cheras Prima di sini pukul 2 pagi pada 6 Oktober 2019 yang didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd. Sulaiman tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan sebelum ini tertuduh merupakan orang yang dikehendaki dalam kes tersebut.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberikan ikat jamin dengan jumlah jaminan rendah kerana berpendapatan rendah.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Syahrul Sazly membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan dua kali setiap bulan. – K! ONLINE

The post Bapa mentua muda mengaku salah cabul menantu tiri appeared first on Kosmo Digital.