Banjir Pahang pulih sepenuhnya

KUANTAN: Semua pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Pekan dekat sini ditutup sepenuhnya pukul 2 petang ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Pekan memaklumkan, Dewan Serba Guna Kampung Padang Rumbia menjadi pusat pemindahan terakhir ditutup.

“Dimaklumkan semua PPS di Pekan bagi kejadian banjir bermula 3 Januari lalu ditutup sepenuhnya.

“Semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada pukul 2 petang ini,” kata kenyataan tersebut.

Pekan menjadi daerah paling hilir di negeri ini yang menerima aliran limpahan air Sungai Pahang dan terakhir merekodkan pemulihan banjir ketika musim tengkujuh.

Ia sekali gus menandakan semua PPS di negeri ini ditutup sepenuhnya dan keadaan banjir pulih hari ini.

Dalam perkembangan sama, Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan paras air sungai-sungai utama juga tkembali di bawah amaran.

Bagaimanapun, penduduk di kawasan rendah diingatkan berwaspada memandangkan keadaan langit mendung berserta awan tebal sepanjang hari ini. – UTUSAN ONLINE

The post Banjir Pahang pulih sepenuhnya appeared first on Utusan Digital.