Suami isteri maut, nahas dengan lori

NOR AINNA HAMZAH
utusannews@mediamulia.com.my

TAMPIN : Sepasang suami isteri maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit nahas dengan lori di Jalan Tampin-Gemas, dekat Kampung Gedok, di sini malam tadi.

Dalam kejadian berkenaan, Mohamad Ismail, 70, dan Halijah Hamat, 62, beralamat di Felda Palong 3, disahkan maut di lokasi kejadian.

Difahamkan pasangan suami isteri itu dalam perjalanan dari rumah saudara di Kampung Pondoi ke kediaman mereka di Felda Palong 3.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh, Norfaizal Ahmad, pasukannya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 8.46 malam dan tiba di lokasi pada pukul 8.52 malam.

“Sebaik tiba di lokasi, kedua-dua mangsa yang dipercayai merupakan suami isteri masih tersepit di dalam kenderaan berkenaan.

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga dan sebuah lori lima tan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Norfaizal berkata, kedua-dua mangsa yang tersepit berjaya di bawa keluar kira-kira 20 minit kemudian.

Menurutnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

Mayat mangsa telah di hantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat.

//habis

TAMPIN 20 Jan. – Keadaan kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori yang mengakibatkan sepasang suami isteri maut dalam kejadian di Jalan Tampin-Gemas, dekat Kampung Gedok, Tampin malam tadi. – Gambar ihsan bomba

The post appeared first on Utusan Digital.