Tunisia tahan 600 perusuh, kerah tentera

TUNIS, Tunisia – Pihak berkuasa Tunisia menahan lebih 600 orang kelmarin dan mengerahkan askar selepas rusuhan memasuki malam ketiga berturut-turut dengan sebahagian besar protes disertai golongan belia di sebilangan bandar.

Kekacauan berlaku walaupun kerajaan menguatkuasakan perintah berkurung di seluruh negara bagi membendung pandemik koronavirus pada Khamis lalu iaitu ulang tahun ke-10 sejak rakyat Tunisia bangkit menumbangkan diktator, Zine El Abidine Ben Ali.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Khaled Hayouni berkata, seramai 632 orang telah ditangkap dengan kebanyakan mereka berumur antara 15 hingga 25 tahun kerana membakar tayar dan tong sampah untuk menyekat kemaraan pasukan keselamatan.

Rusuhan itu berlaku ketika Tunisia berdepan krisis ekonomi yang diburukkan lagi oleh pandemik koronavirus. Kadar inflasi melonjak dan penggangguran melibatkan golongan muda terus meningkat sehingga mendorong ramai orang meninggalkan negara Afrika Utara itu.

Sebilangan individu yang ditahan telah melempar batu ke arah polis dan bertempur dengan pasukan keselamatan, menyebabkan dua anggota polis cedera, kata Hayouni.

“Rusuhan ini tiada kena mengena protes aman yang dijamin di bawah undang-undang dan perlembagaan negara,” katanya.

“Protes biasanya diadakan pada waktu siang tanpa sebarang tingkah laku jenayah,” katanya.

Pihak tentera telah mengerahkan anggotanya ke beberapa kawasan bagi membantu mengawal tunjuk perasaan, kata jurucakap kementerian pertahanan, Mohamed Zikri.

Tentera telah dikerah ke Bizerte di utara, Sousse di timur dan Kasserine serta Siliana di tengah Tunisia, katanya.

Tunisia mencatat lebih 177,000 kes koronavirus termasuk lebih 5,600 kematian selepas pandemik bermula pada tahun lalu. – AFP

The post Tunisia tahan 600 perusuh, kerah tentera appeared first on Kosmo Digital.