Tiga suspek pecah rumah, curi kereta diberkas

ISKANDAR PUTERI: Polis melumpuhkan satu kumpulan yang melakukan kegiatan pecah rumah dan curi kereta di beberapa buah daerah selepas menahan dua lelaki dan seorang wanita dalam serbuan berasingan, semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis memberkas ketiga-tiga suspek berusia 30 tahun hingga 53 tahun di kawasan tempat letak kereta Residensi D’Pristine, Bandar Medini dan Jalan Panglin 6, Taman Perling, Johor Bahru.

Katanya, serbuan dibuat susulan laporan seorang pengadu yang memaklumkan rumah rakannya di Taman Bukit Indah 2, di sini dipecah masuk apabila mendapati pintu pagar rumah terbuka dan kereta milik mangsa hilang, Sabtu lalu.

“Lelaki berusia 43 tahun itu memaklumkan dia menerima panggilan telefon daripada mangsa yang berada di Singapura pada pukul 9.30 pagi memberitahu rumahnya dipecah masuk.

“Pengadu mendapati pintu pagar automatik terbuka dan kereta Honda Accord milik mangsa juga sudah tiada seterusnya masuk ke dalam rumah mendapati keadaan berselerak,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, semasa kejadian berlaku, pemilik rumah itu berada di Singapura dan masih tidak pulang ke tanah air sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac tahun lalu.

Menurutnya, polis menemukan semula kereta milik mangsa jenis Honda Accord yang dipasangkan nombor pendaftaran palsu dalam serbuan di Taman Perling.

“Dalam satu lagi serbuan di Residensi D’Pristine, polis melakukan 27 rampasan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah yang dilakukan sebelum ini termasuk sebuah kereta Volkswagen Jetta warna kelabu yang dilaporkan hilang di Kempas.

“Antara barang berharga hasil kegiatan pecah rumah yang dirampas adalah 11 telefon bimbit, 15 buah beg pelbagai jenama, enam utas jam tangan, dua buah televisyen dan satu tabung sticking,” katanya.

Beliau berkata, suspek lelaki berusia 43 tahun mempunyai 23 rekod lampau, wanita berusia 30 tahun pula memiliki empat rekod dan lelaki berusia 53 tahun mempunyai 37 rekod lampau masing-masing berkaitan jenayah dan dadah.

“Hasil soal siasat ke atas semua suspek, mereka mengaku terlibat dalam beberapa kes pecah rumah di Johor Bahru, Iskandar Puteri, Segamat dan Kota Tinggi. Kita sedang memburu saki baki anggota kumpulan tersebut.

“Hasil ujian air kencing mendapati semua suspek positif methampethamine. Semua suspek tidak bekerja dan merupakan penagih dadah tegar,” katanya yang memberitahu kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini. – UTUSAN ONLINE

The post Tiga suspek pecah rumah, curi kereta diberkas appeared first on Utusan Digital.