Sufian CEO baharu UEM Sunrise

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Berhad mengumumkan pelantikan Sufian Abdullah (gambar) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharunya berkuat kuasa bermula 2 Februari ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah UEM Sunrise, Datuk Noorazman Abd. Aziz berkata, pihaknya yakin Sufian akan memimpin pertumbuhan yang mampan untuk syarikat tersebut dengan bantuan pasukan pengurusan syarikat yang salings melengkapi serta berbakat besar.

“Pelantikannya dibuat dalam waktu yang mengujakan buat syarikat, ketika kami memulakan visi penuh keberanian serta agenda dengan impian tinggi walaupun kini negara sedang menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu dan sektor hartatah masih perlu bertindak balas kepada cabaran-cabaran yang unik.

“Sufian membawa bersama kekayaan pengalamannya dalam peranan yang penting ini. Latar belakangnya sebagai arkitek serta kebolehan dan semangatnya dalam sektor pembangunan har­tanah adalah aset berharga buat syarikat,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sufian mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam pembangunan hartanah dan industri hartanah.

Beliau merupakan aktitek terlatih dengan pengalaman mengendali rekaan urban serta persekitaran binaan berprestasi tinggi selain terdedah dengan persekitaran korporat ketika memegang jawatan pen­ting dalam Sime Darby Property serta Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Ketika ini, beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat sayap hartanah KWAP, KWEST Sdn. Bhd.

Sufian akan mengisi jawatan yang dikosongkan Anwar Syahrin Abdul Ajib sejak Oktober tahun lalu.

Sebelum ini, ura-ura mengatakan jawatan tersebut akan diisi bekas Pengarah Urusan Boustead Holdings Berhad, Datuk Seri Amrin Awaluddin. – UTUSAN

The post Sufian CEO baharu UEM Sunrise appeared first on Utusan Digital.