Penagih dadah simpan enam basikal dipercayai curi

SEBERANG PERAI – Polis menemui enam buah basikal selepas menahan seorang penagih dadah di sebuah rumah di Lahar Yooi, Tasek Gelugor di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, serbuan kira-kira pukul 6.45 petang dibuat selepas polis menerima laporan berhubung kes ugutan oleh suspek berusia 24 tahun itu terhadap ibunya menggunakan senjata tajam.

“Dalam serbuan itu, kita menemui enam buah basikal jenis mountain bike serta sebilah pisau lipat berhulu kayu tertera tulisan Columbia dan sebilah parang besi sepanjang dua kaki tertera tulisan Sam Lee.

“Selain itu, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif syabu dan memiliki tujuh rekod lampau dengan enam daripadanya berkaitan dadah,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noorzainy berkata, tangkapan itu dibuat apabila ibu suspek berusia 50 tahun membuat laporan bahawa dia diugut selepas suspek mahu meminta duit membeli dadah kira-kira pukul 5 petang kelmarin di rumah tersebut.-K! ONLINE

 

The post Penagih dadah simpan enam basikal dipercayai curi appeared first on Kosmo Digital.