Mengarut! Nabila persoalkan yuran penuh, tapi kelas online

PETALING JAYA – Pelakon Nabila Huda mempersoalkan kewajaran kadar bayaran yuran tahunan persekolahan, khususnya sekolah swasta berikutan sesi pembelajaran kini dijalankan secara online (dalam talian) gara-gara pandemik Covid-19.

Nabila menerusi satu hantaran dalam InstaStory miliknya mendakwa dia perlu membayar penuh yuran sesi persekolahan anaknya, Keisha Laila, 11, sebanyak RM18,000 walaupun hanya mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian di rumah.

Menurut anak kepada penyanyi legenda, Amy Search itu, dia merasakan keberkesanan sesi pembelajaran yang dibuat secara dalam talian langsung tidak berbaloi dengan harga yuran sekolah yang perlu dibayarnya.

Nabila dan anak perempuannya, Keisha.

“Saya rasa kelas secara dalam talian tidak berkesan untuk anak-anak. Saya membayar yuran penuh dan rasa tidak berbaloi langsung. 

“Saya fikir tahun ini pihak sekolah boleh bertolak ansur dengan mengurangkan harga yuran sebab tahun ini anak masih lagi belajar secara online.

“Rupa-rupanya tahun ini pun mereka (pihak sekolah) masih lagi mengenakan bayaran penuh. Saya tidak faham langsung tentang pembelajaran secara dalam talian,” ujarnya.

Dalam hantaran itu juga, pelakon yang pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28 itu ketika dihubungi Kosmo! memberitahu, dia merasakan perkara tersebut tidak adil bagi ibu bapa apabila perlu membayar harga yuran penuh, sedangkan anak-anak tidak pergi ke sekolah.

“Mengarut! Tak boleh nak ikutlan cara begini. Tidak ada ke orang yang boleh bersuara untuk selesaikan masalah ini.

“Sebenarnya bukan saya seorang, bahkan ramai lagi ibu bapa lain mohon supaya pihak sekolah bertolak ansur untuk membuat pertimbangan mengurangkan jumlah yuran sekolah,” kata aktres filem Munafik itu.

Pada masa sama, Nabila tahu ada pihak mungkin akan mempersoalkan tindakannya dia kerana menghantar anak bersekolah di sebuah sekolah swasta.

“Saya tidak ada masalah untuk menghantar anak belajar ke sekolah kerajaan, tetapi dengan situasi sekarang agak sukar untuk anak saya berpindah sekolah.

“Lagi pula mana boleh tukar sekolah sesuka hati,” katanya.

Bimbang dengan prestasi akademik anaknya yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun hadapan, Nabila juga bercadang untuk membuat pembelajaran di rumah (home school) dengan memanggil guru mengajar semua subjek akademik untuk anaknya.. 

“Ada sesiapa yang tahu mana-mana guru yang boleh mengajar di rumah? Tolong DM (direct message) saya.

“Sudah hendak masuk bulan Februari. Sudah mula risau tengok anak tidak bersekolah dengan sempurna sejak tahun lepas,” kata Nabila.

Terdahulu, kerajaan menangguhkan sesi persekolahan yang sepatutnya dibuka pada 20 Januari ini selepas mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu membabitkan enam buah negeri sejak 13 Januari lalu. – K! ONLINE

 

 

The post Mengarut! Nabila persoalkan yuran penuh, tapi kelas online appeared first on Kosmo Digital.