Ikan tanpa permit tak sempat ke Singapura

JOHOR BAHRU: Sebanyak 20 jenis ikan basah seberat 1,145 kilogram yang cuba dibawa keluar tanpa permit eksport sah ke Singapura, dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor, semalam.

Kesemua ikan bernilai RM24,265 itu dirampas agensi tersebut di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah kira-kira pukul 2 petang.

Pengarah Maqis negeri, Nur Afifah A. Rahman berkata, rampasan tersebut dibuat ketika pihaknya sedang melakukan pemeriksaan ke atas sebuah lori yang membawa muatan ikan menuju ke Singapura.

“Hasil pemeriksaan mendapati, sejumlah 1,145 kilogram ikan pelbagai jenis diletakkan bersama ikan lain yang mempunyai dokumen sah bagi mengelirukan penguat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Nur Afifah, pemeriksaan lanjut dibuat mendapati beberapa jenis ikan antaranya bawal, siakap, jelawat dan lain-lain tidak mempunyai permit eksport sah.

Sementara itu, pemandu lori berkenaan yang berusia 29 tahun dilepaskan selepas keterangannya diambil.

“Perbuatan mengeksport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit eksport yang sah daripada Maqis adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(2) Akta Maqis 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

The post Ikan tanpa permit tak sempat ke Singapura appeared first on Utusan Digital.