GM labur CAD1b keluar van elektrik

ONTARIO: General Motors Co. dan kesatuan sekerja, Unifor telah mencapai kata sepakat untuk pengeluar kenderaan itu melabur hampir CAD1 bilion (RM3.16 bilion) di Kilang Pemasangan CAMI, Ingersoll, Ontario untuk mengeluarkan van elektrik komersial.

Unifor dalam satu kenyataan memberitahu, di bawah perjanjian tentatif yang masih belum diratifikasi kesatuan sekerja itu, GM telah bersetuju untuk memulakan pengeluaran skala besar van elektrik komersial, EV600 di kilang CAMI.

Pengeluar kenderaan dari Detroit itu dalam kenyataan berasingan pula mengatakan, kerja pengeluaran akan bermula dalam masa terdekat.

Perjanjian baharu itu menyusuli pelaburan GM di Kanada pada November lalu membabitkan pelaburan CAD1 bilion (RM3.16 bilion) di kilang Oshawa untuk memperluas pengeluaran trak pikap bersaiz penuh.

Kerajaan Kanada menyambut baik perjanjian tersebut dan akan mengesahkan sokongan sebaik sahaja ahli kesatuan sekerja meratifikasi perjanjian tersebut.

Menteri Hal Ehwal Luar Kanada, Francois-Philippe Cham­pagne berkata, pihaknya sedang menunggu hasil undian ratifikasi.

Unifor iaitu kesatuan mewa­kili pekerja yang dibayar mengikut jam di Kanada menyatakan lebih banyak perincian mengenai perjanjian itu akan disampaikan kepada ahlinya.

Perincian perjanjian itu akan diberitahu semasa mesyuarat pengesahan secara dalam talian yang dijadualkan semalam de­ngan keputusan tersebut sepatutnya dikeluarkan hari ini. – AGENSI

The post GM labur CAD1b keluar van elektrik appeared first on Utusan Digital.