Aktivis kesal pembersihan air terjun guna jentera berat

BERUAS: Aktivis alam sekitar kesal terhadap kerja pembersihan sisa penebangan dan tanah yang menimbusi lubuk Air Terjun Tanjung Batu di kawasan Hutan Simpan Segari Melintang di Pantai Remis dekat sini yang menggunakan jentera berat.

Timbalan Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Ismady Radzuan berkata, kaedah pembersihan sedemikian mungkin akan menyebabkan kerosakan alam sekitar yang lebih teruk.

Menurutnya, penggunaan jentera berat akan menjejaskan tanah dan pokok di kawasan sekitar lubuk air terjun itu yang kini ditimbusi sisa penebangan dan tanah.

“Apabila guna jentera berat, mereka redah saja kawasan tanah dan tarik kayu-kayu yang ada tanpa menggunakan cara yang betul, sepatutnya tak boleh guna jentera berat.

“Pihak kontraktor sepatutnya melantik pakar dalam bidang pemuliharaan untuk kerja-kerja pembersihan ini kerana kita lihat sendiri kesan-kesan kerja pembersihan yang mereka lakukan.

“Perlu guna kepakaran pihak-pihak yang lebih kompeten dalam aspek pemuliharaan untuk menyelesaikan isu kerosakan alam sekitar di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Ismady yang meninjau kerja pembersihan air terjun berkenaan berkata, setakat ini kerja-kerja pembersihan yang dilakukan terutama di lubuk air terjun berkenaan tidak sampai 10 peratus dari segi fizikalnya.

Menurutnya, berkemungkinan pihak kontraktor mahu menunggu siasatan dan penilaian pihak berkuasa terlebih dahulu mengenai tahap kerosakan air terjun itu.

“Menerusi tinjauan menggunakan dron, didapati sisa kayu masih ada di bahagian atas air terjun ini.

“Kebiasaannya, jika keadaannya seperti ini, kena tanam tumbuhan pelitup bumi untuk kawal tanah-tanah di sekitarnya daripada jatuh, itu tindakan awal yang sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Rosli Zul berkata, kuari yang menyebabkan kerosakan pada air terjun berkenaan memiliki kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) pada 2007.

Menurutnya, namun dari segi pelaksanaannya, kontraktor berkenaan tidak mematuhi atau memenuhi komitmen yang dibuat oleh pihak pemaju semasa laporan EIA diluluskan.

“Oleh itu kita akan mengambil tindakan di atas pelanggaran syarat-syarat kelulusan EIA terhadap pihak premis di bawah Seksyan 34 A Akta Kualiti Alam Sekeliling.

“JAS akan mengeluarkan notis arahan kepada syarikat hati ini supaya syarikat mengambil langkah penambahbaikan,” katanya. – UTUSAN

The post Aktivis kesal pembersihan air terjun guna jentera berat appeared first on Utusan Digital.