Tiada keperluan tubuh jawatankuasa khas bebas – Mahfuz

ALOR SETAR: Penubuhan jawatan kuasa khas bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan pelaksanaan darurat di seluruh negara hingga 1 Ogos ini, tidak mempunyai sebarang faedah terhadap usaha menentang penularan Covid-19.

Sehubungan itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau secara peribadi berpandangan tiada keperluan untuk kalangan Ahli Parlimen pembangkang menyertai jawatan kuasa tersebut.

Katanya, ketika ini adalah jelas bahawa cadangan pelaksanaan darurat tersebut cuma bertujuan untuk kelangsungan politik kerajaan sedia ada.

“Jelas dinyatakan dalam Ordinan Darurat bahawa penubuhan jawatan kuasa khas bebas terbabit adalah untuk menasihatI Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam dalam Persekutuan berikutan pandemik Covid-19.

“Itu bermakna, jawatan kuasa berkenaan ditubuhkan hanya bertujuan memberi nasihat sama ada darurat ini hendak dilanjutkan atau ditamatkan lebih awal kepada Yang di-Pertuan Agong. Jadi apa faedah menyertai jawatan kuasa ini sedangkan keputusan berkaitan perkara-perkara lain dibuat Kabinet,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang dijalankan secara dalam talian di sini, hari ini.

Pada 16 Januari lalu, kerajaan semasa Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri bersetuju menubuhkan sebuah jawatan kuasa khas bebas dikenali sebagai Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat bagi memastikan pengurusan darurat di seluruh negara berjalan lancar.

Jawatan kuasa itu akan dipengerusikan secara bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

12 Januari lalu, Seri Paduka Baginda berkenan supaya Pengisytiharan Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, beliau tidak langsung berniat untuk mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam mengisytiharkan pelaksanaan darurat.

“Sebaliknya, saya mempersoalkan keputusan kerajaan untuk membawa cadangan pelaksanaan darurat ini kepada baginda. Dalam keadaan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) digantung ketika darurat dilaksanakan, kita sebenarnya tiada ruang untuk bertanyakan mengenai apa jua keputusan dibuat kerajaan.

“Disebabkan itu, saya merasakan penubuhan jawatan kuasa ini tidak berfaedah untuk menentang Covid-19 seperti diuar-uarkan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau merasakan Pakatan Harapan (PH) tidak akan menolak untuk menyertai jawatan kuasa tersebut seperti dicadangkannya, Mahfuz berkata, beliau tidak dapat mengulas perkara itu kerana dirinya bukanlah salah seorang daripada Ahli Majlis Presiden PH.

“Namun, bersandarkan kenyataan dibuat pemimpin-pemimpin lain termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya fikir mereka tidak menggambarkan kesediaan untuk menyertainya,” katanya. -UTUSAN ONLINE

The post Tiada keperluan tubuh jawatankuasa khas bebas – Mahfuz appeared first on Utusan Digital.