Selesaikan cara keluarga

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyarankan, isu salah faham antara pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman bersama badan induk tersebut dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung kedudukan kelab itu diselesaikan secara keluarga.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusof Mahadi berkata, beliau diberi amanah untuk menjemput Norizam atau Zamsaham bagi meleraikan kemelut tersebut bersama Stuart Ramalingam dan Datuk Ab Ghani Hassan.

“Orang macam Zamsaham tidak ramai. Kita sedar tidak ramai yang mahu melabur duit sendiri dengan banyak.

“Keluarga bola sepak tempatan tentu menyambut baik kehadiran tokoh seperti Zamsaham untuk mewarnai industri bola sepak negara.

“Eloklah selesaikan perkara ini dengan cara baik. Saya akan menjemput Zamsaham berbincang bersama Stuart (Setiausaha Agung FAM) dan Ghani (Ketua Pegawai Eksekutif MFL) dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin, Zamsaham mendakwa MFL selaku pengendali liga tempatan masih ‘berhutang’ pembayaran hak penyiaran dengan pasukan Liga Malaysia (Liga M) dan
elaun pengadil perlawanan.

Mengulas lanjut, Yusof menegaskan, kemelut itu berbunca daripada salah faham ekoran laporan media yang tidak seharusnya dibiarkan berpanjangan.

“Sebab itu saya serahkan kepada FAM dan MFL untuk berbincang dengan elok seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tidak bersekerak,” katanya.

The post Selesaikan cara keluarga appeared first on Utusan Digital.