Pasar raya Mydin Bukit Jambul  diarah tutup sementara 

GEORGETOWN: Pasar raya Mydin di Kompleks Bukit Jambul di sini  diarahkan tutup buat sementara waktu bagi tujuan sanitasi selepas seorang pekerjanya didapati positif Covid-19. 

Perintah penutupan itu yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berkuat kuasa mulai pukul 1 petang hari ini. 

Pengurus Besar Mydin Wilayah Utara, Azmin Saduruddin berkata, pekerja terbabit telah diarahkan menjalani kuarantin di rumah selepas mempunyai kontak rapat  dengan pesakit positif Covid-19 baru-baru ini. 

“Ketika dalam tempoh kuarantin kakitangan tersebut menjalani ujian saringan dan disahkan dijangkiti virus Covid-19. 

“Oleh itu, pasar raya ini telah diarahkan tutup untuk sementara hingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya di sini hari ini. 

Menurut beliau, pihaknya akan melakukan proses sanitasi secara menyeluruh di semua kawasan pasar raya Mydin. 

Dalam pada itu, Azmin berkata, mereka perlu membuat permohonan kepada KKM untuk membuat penilaian sebelum perniagaan di pasar raya berkenaan dapat dijalankan. 

“Kami akan bekerjasama dengan KKM mengenai hal ini kerana yang penting bagi kami adalah keselamatan pelanggan,” katanya. 

Sementara itu, seorang pelanggan Adham Salleh, 21, berkata, dia sedang  berbaris untuk membayar barang runcitnya kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika melihat sepasukan pegawai dari KKM memasuki premis berkenaan. 

“Saya melihat pengawal keselamatan dan kakitangan pasar raya menutup pintu dan tidak membenarkan pelanggan memasuki premis tersebut. 

“Saya bertanya kepada juruwang apa yang berlaku tetapi juruwang juga tidak tahu apa-apa,” katanya. 

Tambahnya, hanya selesai membayar harga barangan, dia diminta keluar dengan menggunakan satu pintu yang masih dibuka. 

“Sebaik sahaja di luar saya dimaklumkan bahawa ada kakitangan di situ dijangkiti virus Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

The post Pasar raya Mydin Bukit Jambul  diarah tutup sementara  appeared first on Utusan Digital.