Klopp buntu Liverpool tumpul

LIVERPOOL: Jurgen Klopp mengakui, dia tiada jawapan mengapa Liverpool gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan berturut-turut selepas seri 0-0 dengan Manchester United di Anfield hari ini.

Penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu berterima kasih kepada ketangkasan penjaga gol, Alisson untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 68 perlawanan di Anfield selepas pemain Brazil tersebut menafikan percubaan Bruno Fernandes dan Paul Pogba pada lewat permainan.

Skuad bimbingan Klopp kini gagal mencatat kemenangan dalam empat aksi liga berturut-turut dan jatuh ke tangga keempat selepas Manchester City menang besar 4-0 ke atas Crystal Palace awal pagi tadi.

“Tiada penjelasan mudah. Kami sering melepaskan peluang, termasuklah dalam perlawanan yang kami menang. Kini kami mengulanginya.

“Kami perlu beraksi lebih baik untuk mendapatkan mata. Saya rasa kami sudah mempamer aksi terbaik bagi memenangi tiga mata penuh tapi gagal menjaringkan gol.

“Perkara begini berlaku dalam bola sepak. Terdapat situasi di mana anda tidak dapat memberi penjelasan mengapa gagal mencipta gol dari pelbagai sudut, seperti mana kami lakukan ketika betemu Crystal Palace (menang 7-0).

“Anda perlu terus mencipta peluang dan menjaringkan gol,” kata Klopp.

Liverpool menguasai separuh masa pertama sebelum United bangkit pada hujung permainan babak kedua. – AFP

The post Klopp buntu Liverpool tumpul appeared first on Utusan Digital.