BPN 2.0 mula dibayar 21 Januari depan

PETALING JAYA – Bayaran Prihatin Nasional (BPN) 2.0 akan dipercepatkan iaitu bermula 21 Januari depan dengan 11.1 juta penerima akan mendapat bayaran sebanyak RM2.38 bilion.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), bayaran fasa pertama akan melibatkan lebih daripada 8 juta penerima.

“Golongan isi rumah berpendapatan sehingga RM5,000 sebulan akan menerima RM300 ratus ringgit, dan bagi kategori bujang berpendapatan sehingga RM2,000 sebulan pula, mereka akan menerima RM150 ringgit,” katanya pada sidang akhbar khas hari ini.

Katanya, di bawah Belanjawan 2021, kerajaan telah meningkatkan kadar bantuan kebajikan bulanan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkuat kuasa Januari 2021.

Ujarnya, bantuan kebajikan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion dan akan memanfaatkan lebih daripada 400,000 penerima.

“JKM juga akan segera melaksanakan Program Bakul Makanan yang merangkumi barang makanan keperluan bernilai RM100 ringgit bagi setiap isi rumah yang layak, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM50 juta,” katanya. – K! ONLINE

The post BPN 2.0 mula dibayar 21 Januari depan appeared first on Kosmo Digital.