Jabatan Hutan, JAS diarah sedia laporan kemusnahan air terjun

BERUAS: Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Perhutanan Negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri menyediakan laporan berhubung kerosakan air terjun Tanjung Batu di Pantai Remis dekat sini yang hampir musnah dipercayai akibat kegiatan pembersihan hutan di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamarudin berkata, laporan itu penting bagi membolehkan kerajaan negeri memperoleh gambaran sebenar situasi di situ.

“Sekiranya apa yang berlaku itu disebabkan kegagalan pematuhan dalam syarat lesen maka tindakan tegas akan diambil kepada pihak berkaitan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hari ini, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) menggesa pihak berkuasa negeri menilai semula projek perlombongan dan kuari di kawasan Hutan Simpan Segari Melintang di Pantai Remis dekat sini yang memusnahkan ekosistem hutan tersebut termasuk Air Terjun Tanjung Batu yang terletak di situ.

Timbalan Pengerusi Kuasa, Ismady Radzuan berkata, projek berkenaan mengakibatkan air terjun tujuh tingkat setinggi kira-kira 300 meter kini hampir musnah apabila pokok sekitar kawasan itu ditebang dan sisa penebangan termasuk tanah dibiarkan menimbusi lubuknya.

Akibatnya, menurut beliau, kawasan lubuk air terjun itu yang agak dalam dan berwarna hijau sudah ‘hilang’ ditimbus tanah manakala tujuh tingkat air terjun itu juga seolah-olah sudah tidak wujud mengakibatkan aliran air dari atas bukit terus menuju ke bawah.

Mohd. Akmal berkata, kerajaan negeri memandang serius isu tersebut dan memberi jaminan untuk menyelesaikannya serta mencari punca sebenar dalam masa terdekat.- UITUSAN ONLINE

The post Jabatan Hutan, JAS diarah sedia laporan kemusnahan air terjun appeared first on Utusan Digital.