Sukarelawan UPM ‘ubah suai’ Dewan D1

PUTRAJAYA: Jika mengikut pelan asalnya, mereka sudah pun berada di Pahang bagi misi bantuan mangsa banjir di negeri yang terbesar di Semenanjung itu pasca bencana tersebut.

Namun, susulan arahan kerajaan melarang sukarelawan negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka ‘berbakti’ di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Kali ini, sukarelawan Universiti Putra Malaysia (UPM) kampus induk Serdang itu menabur jasa mengubah Dewan D1 MAEPS sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) 2.0.

Malah, usaha murni kumpulan itu turut mendapat pujian Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba ketika meninjau persiapan dewan tersebut untuk beroperasi mulai 18 Januari ini.

“Kami perlu pantas menyiapkan sejumlah 700 katil bertingkat dalam tempoh yang singkat,” kata  Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, Nuruliman Ibrahim ketika ditemui Utusan Malaysia. 

Kerja pemasangan semua katil itu bagi menempatkan pesakit Covid-19 warga Malaysia yang berkeluarga dimulakan pada pukul 9 pagi dan selesai sepenuhnya sekitar 6 petang hari sama.

Kumpulan itu melibatkan 60 pelajar dan 15 staf pelbagai fakulti perlu mengangkat semua katil dalam bungkusan sebelum memasang dan menyusunnya lengkap dengan tilam dan bantal.

“Pasukan ini asalnya seramai 160 pelajar sepatutnya bergerak ke Pahang petang semalam bagi misi tugas amal bantuan pasca banjir di Chenor dan Sungai Lembing,” jelas Nuruliman.

Ironi, rancangan itu terpaksa dibatal berikutan arahan terkini yang tidak izin sukarelawan dari negeri terlibat PKP dan beliau terus menghubungi Unit Pengurusan Bencana (UPB) Selangor.

Ini untuk mendapatkan perkembangan terkini maklumat banjir di daerah Hulu Selangor dan Kuala Selangor bagi menggantikan misi di Pahang tetapi UPB memaklumkan tiada keperluan.

“UPB mencadangkan sukarelawan UPM untuk cuba pengalaman baharu bantu penyediaan keperluan penempatan pesakit Covid-19 yang semakin naik kebelakangan ini.” tambah beliau.

Nuruliman menambah, tugasan itu ternyata amat menginsafkan sukarelawan kerana dapat bantu penghidap warganegara yang berkeluarga ramai untuk dikuarantin dalam kawasan sama.

Sebelum itu, mereka terpaksa dipisahkan dengan Dewan B untuk perempuan manakala lelaki di Dewan C apabila PKRC 2.0 MAEPS mula dibuka kepada pesakit tempatan awal tahun ini.

“D1 ini memang selesa dilengkapi dengan pelbagai fasitliti moden termasuk surau, taman permainan kanak-kanak, pantri, tandas, gimnasium selain ada liputan wifi 5G,” jelas Nuruliman.

PKRC 2.0 di MAEPS diaktifkan semula Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) pada 9 Disember lalu dengan sasaran 10,000 katil bagi menempatkan pesakit Covid-19 rakyat asing.

Bagaimanapun ia menerima warganegara tempatan awal bulan ini ekoran kesesakan di hospital kerajaan, bahkan akan dibuka kepada pesakit dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang. -UTUSAN ONLINE

The post Sukarelawan UPM ‘ubah suai’ Dewan D1 appeared first on Utusan Digital.