Mujur kad jemputan tak edar lagi

PONTIAN – Hasrat melihat satu-satunya anak lelaki diraikan pada majlis menyambut menantu atau ‘ngudoh’ bagi masyarakat Jawa pada hari ini terpaksa ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP).

Menurut Rabu Wagio, 57, majlis yang dirancang diadakan di Kampung Parit Dato Onn di sini bagi meraikan anaknya, Mohd. Zul Arif, 25 dan pasangannya, Nor Hamiza Atilah Haslani, 23, yang bernikah pada minggu lalu.

Katanya, dia bersama isterinya, Arbaniah Ibrahim, 56, telah membuat sedikit persediaan seperti menyediakan cenderamata atau ‘goodies’ untuk diberikan kepada jemputan yang dianggarkan seramai 500 orang.

“Majlis yang diadakan pun secara kecil-kecil dengan jemputan dikalangan penduduk kampung, rakan-rakan sekerja, ahli keluarga disebelah isteri serta besan dan rakan-rakan persekolahan lalu.

“Terkilan juga kerana majlis yang dirancang terpaksa ditangguhkan disebabkan PKP tetapi perbelanjaan untuk memasak belum dibeli kerana menunggu pengumuman daripada pihak kerajaan,” katanya di sini.

Rabu yang juga Pengerusi Surau Kampung Parit Dato Onn menambah, anaknya Mohd. Zul Arif merupakan anak ketiga daripada lima adik bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan ( JPJ ) Johor di Johor Bahru.

“Mujur kad jemputan juga tidak diedarkan sepenuhnya cuma pemakluman sahaja kepada ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat kerana melihat kepada keadaan penularan Covid-19 yang semakin meningkat,” jelasnya. – K! ONLINE

The post Mujur kad jemputan tak edar lagi appeared first on Kosmo Digital.