Tiga wanita Orang Asli sarat mengandung dibawa naik helikopter

GUA MUSANG – Tiga wanita Orang Asli yang sarat mengandung dari Pos Gob di sini hari ini terpaksa dibawa menaiki helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) untuk ke Hospital Gua Musang selepas jalan balak untuk keluar dari kampung itu rosak akibat hujan lebat baru-baru ini.

Wanita Orang Asli terbabit ialah Rajem Anjang, 27, Saiyana Embah, 24, dan Subaidah Angah, 26 menaiki helikopter jenis Agusta 109 E diiringi oleh suami masing-masing.

Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farhan Marzuki berkata, pihaknya mengambil tindakan segera dengan melakukan penerbangan Medical Evacuation (Medevac) untuk membantu tiga wanita itu.

Katanya, bomba menerima laporan dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengenai ketiga-tiga wanita itu yang tidak dapat dibawa keluar menggunakan kenderaan kerana jalan rosak dan jambatan runtuh.

“Penerbangan tersebut dilaksanakan pada pukul 9.30 pagi dan sampai di Pos Gob pada pukul 10.45 pagi untuk mengambil pesakit.

“Pada pukul 11 pagi pesakit bersama suami dan berjaya mendarat di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dan terus dibawa ke hospital dengan ambulans Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) JBPM,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Mohd. Farhan, bagaimanapun, sehingga kini pesakit tersebut belum lagi bersalin dan berada dalam pengawasan doktor.

Ujarnya, Unit Udara JBPM kerap membantu masyarakat Orang Asli yang sakit untuk dihantar ke hospital bagi menerima rawatan memandankan lokasi jauh dengan kawasan bandar selain jalan perhubungannya sering rosak. -K! ONLINE

The post Tiga wanita Orang Asli sarat mengandung dibawa naik helikopter appeared first on Kosmo Digital.