Farah Lee agih 1,000 kit solat kepada mangsa bah Kemaman, Dungun

KEMAMAN: Prihatin dengan nasib mangsa-mangsa banjir, personaliti media sosial, Norfarahin Romli atau lebih dikenali sebagai Farah Lee mengagihkan sebanyak 1,000 kit solat kepada mereka yang terjejas bah di daerah ini dan Dungun.

Kit solat yang mengandungi telekung, sejadah, kain pelikat di samping barangan keperluan lain termasuk bantal, baju muslimah dan kit kebersihan diri itu diberikan kepada penduduk di Kampung Fikri di sini manakala di Dungun pula melibatkan Kampung Jongok Batu, Kampung Belimbing dan Kampung Shukur.

Menurut Norfarahin, pemberian kit solat hasil derma orang ramai itu diharap dapat memberi keselesaan kepada mangsa-mangsa banjir untuk beribadah.

Bekas isteri kepada pengacara, Ally Iskandar itu berkata, sebanyak RM100,000 berjaya dikumpul menerusi hebahan di media sosial sekali gus melepasi sasaran RM39,000 yang ditetapkan.

“Pada awalnya saya hanya menyasarkan kira-kira RM39,000 untuk membeli 300 set telekung dan sejadah tetapi tidak sangka sambutan diterima luar biasa kerana ramai rakyat Malaysia yang prihatin untuk menderma.

“Memandangkan jumlah dana melebihi jangkaan, maka saya terpaksa mendapatkan kerjasama daripada pelbagai pihak misalnya kerajaan negeri Terengganu untuk membantu menguruskan sumbangan,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan bantuan itu hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Hanafiah Mat di samping Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman. 

Seorang penduduk, Rokiah Abdullah, 54, berterima kasih dengan keprihatinan semua pihak yang sudi menghulurkan bantuan sekali gus mengubat sedikit kesedihan mereka yang kehilangan harta benda dalam musibah baru-baru ini.

“Sebelum ini kami sekeluarga menerima bantuan makanan dan Alhamdulillah, kali ini berpeluang mendapat kit solat dan bantal,” katanya. -UTUSAN

The post Farah Lee agih 1,000 kit solat kepada mangsa bah Kemaman, Dungun appeared first on Utusan Digital.