Cacing selamat untuk dimakan

LONDON: Makanan yang mengandungi ramuan mealworm atau cacing seperti terdapat dalam makanan ringan, biskut, pasta dan burger tidak lama lagi bakal dikeluarkan secara meluas di Eropah. 

Hal ini kerana agensi keselamatan makanan di Kesatuan Eropah (EU) mendapati serangga itu selamat untuk dimakan. 

Lapor The Guardian, makanan tersebut bagaimanapun tidak disarankan untuk semua golongan individu.

Menurut saintis, individu yang mempunyai alahan udang dan serangga kemungkinan besar mengalami reaksi terhadap larva kumbang mealworm (Tenebrio Molitor) sama ada diambil dalam bentuk serbuk atau makanan ringan.      

Hasil keputusan saintis di agensi keselamatan makanan EU berikutan permohonan yang dikemukakan oleh sebuah syarikat pengeluaran makanan berasaskan serangga pertama di Perancis, Micronutris.  

Permohonan itu antara lain meminta mengiktiraf mealworm sebagai produk sesuai dalam pengeluaran makanan di seluruh benua, dijangka mendapat kelulusan EU dalam tempoh beberapa bulan lagi.   

Jelas saintis itu, komponen utama serangga yang merupakan protein, lemak dan serat menawarkan sumber makanan lestari dan rendah karbon untuk masa depan.

“Penilaian risiko Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah (EFSA) terhadap serangga sebagai makanan baharu membuka jalan untuk kelulusan pertama sedemikian di seluruh EU.   

“Ia langkah penting dalam pengendalian makanan baharu dan menyokong pembuat dasar di EU ketika membuat keputusan berdasarkan sains selain memastikan keselamatan pengguna,” kata seorang pegawai saintis di agensi itu, Ermalaos Ververis.  

Makanan berasaskan serangga sejak lama lagi dilihat sebagai penyelesaian untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dalam industri pengeluaran makanan. 

The post Cacing selamat untuk dimakan appeared first on Utusan Digital.