Ubah budaya negatif secara dalaman-Azam Baki

PUTRAJAYA – Usaha untuk memperbaiki budaya negatif dalam sektor perkhidmatan awam di negara ini perlu dilakukan secara dalaman,” kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.

Beliau berkata, isu integriti dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam tidak boleh dipandang remeh sebaliknya perlu diberi perhatian yang serius bagi menjamin ketelusan sektor perkhidmatan awam.

Menurutnya, penjawat awam memainkan peranan penting sebagai pemberi maklumat kepada SPRM dalam mendedahkan isu-isu berkaitan rasuah dan salah guna kuasa di jabatan atau agensi masing-masing.

Justeru, katanya, penjawat awam diseru agar ‘membuka mata dan telinga’ dengan menyalurkan maklumat kepada SPRM kerana mereka lebih mengetahui apa yang berlaku di jabatan atau agensi masing-masing.

“Sekiranya mereka kurang yakin untuk menjadi pengadu, mereka boleh memilih untuk menjadi pemberi maklumat.

“Mereka akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 jika dikenakan tindakan tidak wajar oleh ketua jabatan atau pegawai kanan susulan daripada pendedahan yang dibuat kepada SPRM,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian susulan amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman bahawa penjawat awam perlu mengambil tahu tentang perlakuan rasuah di tempat kerja bagi mencegah perbuatan rasuah dalam perkhidmatan awam daripada menjadi barah. -K! ONLINE

The post Ubah budaya negatif secara dalaman-Azam Baki appeared first on Kosmo Digital.