TikTok lindungi pengguna bawah 16 tahun

LONDON – Semua akaun TikTok di Eropah yang dimiliki pengguna di bawah usia 16 tahun akan ditetapkan menjadi akaun privasi secara automatik, umum TikTok dalam satu kenyataan.

TikTok berharap perubahan tersebut akan mendorong pengguna muda untuk terlibat secara aktif dalam usaha melindungi privasi maklumat online mereka, lapor Badan Penyiaran British (BBC), semalam.

“Kami berharap ketetapan baharu ini boleh memberi inspirasi kepada mereka untuk mengambil peranan aktif dan membuat keputusan yang tepat,” kata Ketua Privasi TikTok (Eropah), Elaine Fox.

Menerusi ketetapan baharu itu juga, hanya pengikut yang dibenarkan pemilik akaun boleh meninggalkan komen pada video yang dimuat naik.

Pengguna platform juga akan dilarang memuat turun video yang dibuat oleh mereka yang berumur di bawah 16 tahun.

Langkah ini diambil selepas siasatan BBC News mendedahkan pengguna muda platform tersebut mungkin terdedah kepada pesalah seksual online. – Agensi

The post TikTok lindungi pengguna bawah 16 tahun appeared first on Kosmo Digital.