Tiga penyamun diberkas bunuh rakan sejenayah

MELAKA: Gara-gara tidak berpuas hati dengan hasil kegiatan samun dilakukan bersama, tiga lelaki dipercayai membunuh rakan mereka dengan menikam perut dan lehernya sebelum meninggalkan mayat di dalam sebuah kereta di Rumah Pangsa Batu Berendam, di sini.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, mayat lelaki berusia 38 tahun itu ditemukan orang awam dalam keadaan tertiarap dan ditutup dengan kain putih di tempat duduk belakang kereta Proton Perdana milik isterinya, pada 7 Januari lalu.

Katanya, ketiga-tiga suspek itu bagaimanapun diberkas dalam tempoh kurang 24 jam selepas pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat tersebut.

“Susulan laporan dibuat orang awam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menahan suspek pertama berusia 39 tahun pada hari sama kira-kira pukul 10 malam di rumahnya di rumah pangsa berkenaan.

“Susulan tangkapan pertama itu, polis memberkas dua lagi suspek masing-masing berusia 34 tahun dan 32 tahun di Ipoh, Perak pada 11 Januari lalu,” katanya dalam sidang akhbar di IPK di sini, hari ini.

Menurut Abdul Majid, dalam tangkapan tersebut, polis merampas beberapa senjata dipercayai digunakan suspek dalam pembunuhan tersebut.

Beliau berkata, berdasarkan keadaan fizikal mayat, mangsa dipercayai ibunuh dalam tempoh 48 jam sebelum ditemukan.

“Hasil bedah siasat mendapati lelaki itu mati akibat hentakan kuat di kepala serta mempunyai kesan tikaman di perut dan leher.

“Kita percaya mangsa dibunuh di rumah suspek pertama di pangsapuri berkenaan kerana terdapat kesan darah di dalam rumah tersebut sebelum mayatnya diangkat dan diletakkan di dalam kereta terbabit,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, hasil soal siasat kesemua suspek, lelaki itu dikatakan dibunuh selepas berlaku pergaduhan antara mereka yang tidak berpuas hati mengenai kegiatan samun sebuah kedai serbaneka di Kota Laksamana yang dilakukan bersama pada 4 Januari lalu.

“Siasatan lanjut dibuat melalui maklumat daripada rakaman litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan yang mendapati kesemua suspek terlibat dalam kejadian samun itu.

“Setakat ini, geng samun ini dipercayai aktif melakukan jenayah itu sejak dua bulan lalu dengan modus operandi mereka adalah membawa sebilah parang panjang ke kaunter sebelum membuat ugutan,” katanya.

Kata beliau, hasil saringan ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

The post Tiga penyamun diberkas bunuh rakan sejenayah appeared first on Utusan Digital.