‘Tak salah berangan’ – Dayang rakam album Belagu secara ‘live’

PETALING JAYA – Hadir dengan album baharu yang memuatkan lapan buah lagu klasik berjudul Belagu, penyanyi Dayang Nurfaizah mendedahkan, dia sudah memasang angan-angan untuk menzahirkan sebuah album yang dirakam secara ‘live’ (langsung) sejak 15 tahun lalu.

Kata Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, hasratnya untuk menyanyikan lagu-lagu klasik dan dimuatkan dalam sebuah album istimewa tercetus sejak kelahiran album Kasih pada 2005.

“Tak salah berangan. Jujur saya katakan, sejak album Kasih, saya dah pasang angan-angan nak ada album yang memuatkan lagu-lagu klasik indah bukan sahaja dari segi melodi, bahkan dari segi kehalusan bahasa.

“Alhamdulillah, akhirnya impian itu tercapai dan lebih manis lagi, album ini dirakam secara ‘live’. Lama sebenarnya saya sudah simpan impian ini,” katanya.

Dayang, 39, ditemui Kosmo! Online pada majlis pra-dengar album berkenaan di Universal Music Malaysia di sini, baru-baru ini.

Mengambil risiko melancarkan album pada waktu yang sukar apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diwartakan semula di enam negeri, Dayang bagaimanapun positif dan optimis untuk berkongsi buah tangan baharu dengan peminat.

“Kebetulan, ketika saya ingin melancarkan album, kerajaan melaksanakan PKP di enam negeri. Mujur sekarang boleh promosi album secara digital.

“Saya percaya, ramai terkesan dengan apa yang berlaku sekarang. Pendapatan saya sendiri terjejas disebabkan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu. Banyak persembahan dibatalkan. Pun begitu, hidup perlu diteruskan dan kita perlu bijak terutama dalam perihal kewangan dengan berjimat-cermat,” katanya lagi.

Belagu memuatkan lapan buah lagu klasik mendapat sentuhan magis Aubrey Suwito yang bertindak sebagai pengarah muzik dan penerbit.

Single pertama berjudul Tudung Periuk boleh dilayari menerusi semua platform digital seperti iTunes dan Spotify bermula esok (15 Januari), manakala album penuh akan dilancarkan secara rasmi pada Februari. – K! ONLINE

The post ‘Tak salah berangan’ – Dayang rakam album Belagu secara ‘live’ appeared first on Kosmo Digital.