Suspek buang bayi dari atas bangunan ditahan

KUCHING – Seorang bayi dipercayai telah dibuang dari tingkat atas sebuah bangunan hotel dijumpai dalam keadaan terkujur di belakang Maybank, Jalan Bukit Mata di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Awang Din Awang Ghani berkata, bayi tersebut dijumpai oleh orang awam sekitar pukul 9.20 malam tadi.

Setibanya di lokasi, mayat bayi ditemui terbaring dengan kecederaan di bahagian kepala.

Berikutan itu, pihak polis telah menahan seorang perempuan berumur 19 tahun yang disyaki merupakan ibu kepada mayat bayi tersebut.

“Suspek telah ditahan di sebuah bilik hotel berdekatan dengan lokasi kejadian.

“Suspek kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan manakala mayat bayi dihantar ke hospital yang sama bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kes buang bayi tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.-K! ONLINE

The post Suspek buang bayi dari atas bangunan ditahan appeared first on Kosmo Digital.