Kos subsidi haji rakyat Indonesia bakal dipotong

JAKARTA – Kerajaan Indonesia dilaporkan bakal memotong subsidi ibadah haji rakyat negara itu secara berperingkat dengan alasan pembiayaan pada ketika ini terlalu mahal.

Menurut laporan Suara.com semalam, Ketua Badan Pengurusan Kewangan Haji (BPKH), Anggito Abimanyu menyokong langkah ini kerana prinsip menunaikan haji hanya untuk mereka yang mampu.

“Kami menyokong pengurangan kos subsidi haji secara beransur-ansur kerana ini memberi kesedaran bahawa ibadah haji khusus untuk mereka yang mampu,” kata Anggito dalam sidang media virtual, petang semalam.

Anggito turut mendedahkan kos sebenar untuk menunaikan ibadah haji bagi seorang individu sekitar 70 juta rupiah (RM20,000) tetapi jemaah Indonesia hanya perlu membayar sekitar 35 juta rupiah (RM10,000).

Oleh sebab itu, dia mengatakan bahawa setiap tahun BPKH perlu mencari dana subsidi untuk menampung keperluan pembiayaan haji bagi jemaah Indonesia yang mencecah hingga 6.9 trilion rupiah (RM1.9 bilion).

Terdahulu, Kementerian Agama (Kemenag) Indonesia merancang untuk menilai corak pengurusan kewangan haji tahun ini termasuk pertimbangan pemotongan subsidi kos haji. – Agensi

The post Kos subsidi haji rakyat Indonesia bakal dipotong appeared first on Kosmo Digital.