Sorok syabu dalam kotak rokokSoro

RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 menangkap seorang lelaki dipercayai penagih dadah selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier dipandunya ditahan di Kampung Gabus di sini hari ini.

Selain itu, PGA turut menemui dadah dipercayai jenis syabu seberat 0.5 gram bersama suspek sewaktu menjalan rondaan rutin di kawasan itu pada pukul 12.40 pagi.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, semasa melakukan rondaan anggota PGA telah melihat dengan sebuah SUV dipandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Banggol Kulim di sini.

Menurutnya, ketika anggota PGA cuba menghampiri kenderaan itu, pemandunya telah bertindak memecut laju bagi mengelakkan ditahan.

“Bagaimanapun, SUV yang dipandu suspek berjaya ditahan di Jalan Kampung Gabus.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan itu telah menjumpai sekotak rokok keretek. Pemeriksaan lanjut di dalam kotak rokok tersebut membawa kepada penemuan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kecil kristal disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azhari memberitahu, ujian awal saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.-K! ONLINE

The post Sorok syabu dalam kotak rokokSoro appeared first on Kosmo Digital.