Rumah terbakar, lelaki ditemui rentung

MENUMBOK – Seorang lelaki ditemui rentung selepas rumah didiami bersama tiga ahli keluarga musnah dalam kebakaran melibatkan dua buah rumah di Kampung Melikai awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa Mohd Ikmal Abdullah, 50, dipercayai gagal menyelamatkan diri ekoran terperangkap di dalam rumah terbabit.

Ketua Zon Bomba Beaufort, Anddre Andrew berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada pukul 6.12 pagi.

“Seramai sembilan anggota dan pegawai terus diarahkan ke lokasi kejadian bersama dua jentera.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota bertugas mendapati dua rumah berkeluasan 353 meter persegi musnah hampir 100 peratus,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Anddre berkata, pemeriksaan menemui mayat mangsa dalam keadaan rentung di bahagian dapur rumah sejurus api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

“Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.-K! ONLINE

The post Rumah terbakar, lelaki ditemui rentung appeared first on Kosmo Digital.