RM184 juta kutipan zakat Maidam tahun lalu

KUALA TERENGGANU – PelaksanaanPerintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19 telah menyebabkan kutipan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) pada tahun lalu gagal mencapai sasaran RM190 juta.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, kutipan zakat yang berjaya dikumpulkan pada tahun 2020 ialah RM184.9 juta.

“Jumlah kutipan zakat tersebut kurang RM5.1 juta daripada sasaran asal iaitu RM190 juta.

“Pelaksanaan PKP ekoran penularan pandemik Covid-19 sejak bulan Mac tahun lalu merupakan faktor utama pengurangan kutipan zakat berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Osman berkata, sebahagian besar daripada kutipan zakat yang diterima Maidam pada tahun lalu disumbang oleh pembayaran zakat pendapatan melalui potongan gaji terutama dalam kalangan kakitangan kerajaan.

Ujar beliau, kutipan zakat daripada segmen zakat pendapatan melalui potongan gaji automatik itu berjumlah RM99.1 juta.

“Ia merangkumi kira-kira 53.6 peratus daripada keseluruhan kutipan zakat yang diterima Maidam pada tahun lalu,” katanya. – K! ONLINE

The post RM184 juta kutipan zakat Maidam tahun lalu appeared first on Kosmo Digital.