Remaja bonceng kanak-kanak antara 18 disaman

BENTONG: Seorang remaja berusia 16 tahun antara 18 individu yang disaman polis kerana melakukan kesalahan lalu lintas dalam operasi yang dijalankan di kawasan Mutiara Gemilang Batu Satu di sini, semalam

Ketika ditahan, remaja berkenaan bukan sahaja tidak memakai topi keledar malah membonceng seorang kanak-kanak yang boleh membahayakan nyawa mereka jika berlaku kemalangan.

Ketua Polis daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, dalam operasi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) itu, sebanyak 18 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan.

“Sebanyak empat saman dikeluarkan kerana tiada lesen memandu, nombor pendaftaran fancy (empat saman) dan 10 kesalahan tidak memakai topi keledar.

“Kesemua saman ini dikeluarkan kepada penunggang dan pembonceng motosikal,” katanya di sini hari ini.

Menurut Zaiham, polis terutama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Bentong menerima banyak aduan dari orang ramai berhubung sikap penunggang motosikal yang sering mengabaikan dan melanggar peraturan lalu lintas.

Justeru katanya, polis melakukan operasi dan pemantauan berterusan melibatkan penguatkuasaan kesalahan lalu lintas.

“Polis menasihati semua masyarakat khususnya di daerah Bentong supaya menyemai kesedaran tentang perlunya sikap berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

The post Remaja bonceng kanak-kanak antara 18 disaman appeared first on Utusan Digital.