Raikan Perayaan Ponggal bersama keluarga – PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, masyarakat India boleh meraikan sambutan perayaan Ponggal sebaik-baiknya bersama ahli keluarga masing-masing.

Beliau berkata, sambutan dengan cara sedemikian boleh dibuat walaupun tiada aktiviti kunjung-mengunjung berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula semalam.

“Selamat menyambut Perayaan Ponggal kepada masyarakat India yang menyambutnya hari ini. 

“Perayaan Ponggal atau pesta menuai disambut masyarakat India bagi menzahirkan rasa syukur atas rezeki yang diterima dan berdoa dengan harapan tuaian pada tahun berikutnya akan lebih baik,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Berikutan kes Covid-19 semakin meningkat di negara ini, kerajaan melaksanakan PKP untuk tempoh 14 hari sehingga 26 Januari ini melibatkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

PKP Bersyarat (PKPB) pula dikenakan ke atas enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Bagaimanapun, bagi negeri Perlis dan Sarawak dikenakan PKP Pemulihan (PKPP) yang akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.

Negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

Pergerakan rentas negeri adalah tidak dibenarkan di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga tidak dibenarkan.

Semua aktiviti majlis sosial dan keramaian, termasuk majlis perkahwinan, pertunangan serta resepsi, tidak dibenarkan di negeri-negeri PKP. -UTUSAN ONLINE

The post Raikan Perayaan Ponggal bersama keluarga – PM appeared first on Utusan Digital.