Pemandu kereta cedera dirempuh MPV

KOTA BHARU- Seorang pemandu kereta cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova dalam kejadian di Jalan Hospital di sini semalam.

Mangsa, Wan Mohd. Zuhari Wan Muhammad, 38, mengalami luka luaran pada anggota badan dan telah dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, kemalangan berlaku ketika Wan Mohd. Zuhari yang memandu kereta Proton Saga berhenti di bahu jalan tanpa halangan di hadapan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) pukul 6 petang.

“Ketika itu, sebuah MPV yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun datang dari arah Jalan Mahmood ke laluan itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh kereta mangsa.

“Insiden itu menyebabkan pemandu kereta jenis Proton Saga cedera,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Mohd. Zamri, ketika pegawai penyiasat polis tiba di lokasi kejadian, pemandu MPV tiada disitu manakala pemandu kereta Proton Saga sudah dibawa ke HRPZ II.-K! ONLINE

 

The post Pemandu kereta cedera dirempuh MPV appeared first on Kosmo Digital.