Orang ramai diminta manfaatkan e-Census

PUTRAJAYA – Orang ramai diminta memanfaatkan platform e-Census (banci dalam talian) khususnya bagi yang menetap di negeri-negeri terbabit pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pejabat Pesuruhjaya Banci 2020 menerusi kenyataan akhbar berkata, gerak kerja Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) secara bersemuka telah disusun semula susulan pelaksanaan tiga kategori pelaksanaan PKP di seluruh negara.

Menurutnya, operasi pembancian secara bersemuka adalah tidak dibenarkan di kawasan PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD).

“Manakala, pembancian bersemuka dibenar untuk dilaksanakan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

“Prosedur Operasi Standard (SOP) Operasi Pembancian di Lapangan Banci Malaysia 2020 yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan digunakan dalam pembancian Fasa Kedua ini,” katanya

Jelasnya, berdasarkan respons diterima sehingga kini, seramai 8.8 juta atau 27.1 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk Malaysia telah direkodkan dalam Banci Malaysia 2020.-K! ONLINE

The post Orang ramai diminta manfaatkan e-Census appeared first on Kosmo Digital.