MOF sedia tambah baik Belanjawan 2021

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) kini sedang mengkaji dan membincangkan penambahbaikan yang sesuai kepada langkah-langkah Belanjawan 2021 bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan.

Menterinya. Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kajian dan perbincangan itu dibuat susulan pelaksanaan pelbagai variasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara buat masa ini.

Beliau berkata, pihak kementerian kini sedang sibuk memulakan pelaksanaan langkah-langkah Belanjawan 2021 termasuk memantau pelaksanaan 76 inisiatif di bawah belanjawan itu.

“Seperti yang saya sebutkan berkali-kali sebelum ini, kementerian sentiasa mendengar dan bersedia untuk menambah baik inisiatif, bila mana perlu.

“Seperti pakej-pakej rangsangan ekonomi tahun lalu, status pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini juga akan dikongsi dengan pihak awam,” katanya menerusi Laporan Laksana Ke-36 yang dibentangkan secara maya di Facebook MOF hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kementerian juga memberi jaminan kepada semua rakyat dan pelabur bahawa pelbagai sektor ekonomi dan ekosistem kewangan tetap dibuka dalam tempoh PKP.

Beliau berkata, kerajaan dan agensi-agensi berkaitan akan memudahcara dan memastikan keadaan pasaran kekal kondusif dan teratur dalam tempoh tersebut.

“Saya jamin bahawa ekosistem kewangan kita berdaya tahan dan mempunyai sistem pengurusan dan pengawalseliaan yang kukuh.

“Kita akan menjaga punca rezeki rakyat sebaiknya. Saya memahami bahawa keadaan yang kita hadapi adalah di luar jangkaan,” katanya. -K! ONLINE

The post MOF sedia tambah baik Belanjawan 2021 appeared first on Kosmo Digital.