Milan tempah slot suku akhir

MILAN – Kemenangan 5-4 ke atas Torino di San Siro menerusi penentuan sepakan penalti me­nyaksikan AC Milan berjaya me­langkah ke peringkat suku akhir Piala Itali.

Meskipun kedua-dua pasukan saling berbalas serangan pada waktu permainan biasa, namun aksi selama 120 minit itu ber­akhir tanpa sebarang jaringan dan diheret ke penentuan sepakan penalti.

Pemain tengah Milan, Hakan Calhanoglu menjadi wira pasukan itu selepas dia tenang menyempurnakan sepakan pe­nalti terakhir sekali gus membawa pasukannya ke suku akhir.

Jurulatih Milan, Stefano Pioli mengakui bangga dengan kemenangan itu, lebih-lebih lagi apabila menyaksikan pasukan tersebut mara ke suku akhir 12 kali berturut-turut.

“Saya sangat bertuah kerana memiliki sebuah pasukan yang sedia berjuang sehingga ke penghujung. Satu perlawanan yang sukar, terutamanya berdepan pasukan seperti Torino,” kata beliau.

Sementara itu, beliau juga gembira kerana dapat memberikan peluang buat penyerang ve­teran, Zlatan Ibrahimovic beraksi sebelum dia dikeluarkan pada separuh masa kedua.

“Saya turunkan Ibrahimovic dalam kesebelasan utama kerana saya mahu dia beraksi lebih lama bagi meningkatkan tahap kecergasannya. Selain itu, karakter­nya juga sangat diperlukan bagi membantu pasukan,” ujar Pioli. – AGENSI

The post Milan tempah slot suku akhir appeared first on Kosmo Digital.