Lima kampung putus bekalan elektrik tiga jam

REMBAU – Gara-gara sebuah lori treler tersangkut tiang kabel elektrik hingga tiang elektrik tumbang di Kampung Lada, dekat sini, lima buah perkampungan terputus bekalan elektrik hampir tiga jam.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lada, Mohamad Shamsuri Musa berkata, kejadian berkenaan berlaku kira-kira pukul 11 pagi dan bekalan elektrik terpaksa dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada kakitangan Tenaga Nasional Berhad membetulkan tiang elektrik yang tumbang merentangi jalan.

Menurutnya, dianggarkan sebanyak 70 buah rumah dari lima buah kampung iaitu Kampung Mayon, Batu Puteh, Lada, Solok Ampang Batu dan Tanah Datar terputus bekalan elektrik selama hampir tiga jam.

“Berdasarkan keterangan pemandu lori, ketika kejadian dia sedang menaikkan traktor di tepi jalan berkenaan dan sebaik mahu keluar ke jalan besar, lori berkenaan bergesel dengan tiang elektrik.

“Muatan traktor berkenaan ingin di bawa ke Port Dickson,” katanya, dekat sini, tadi.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, sebaik sampai di tempat kejadian, lori berkenaan telah tersangkut tiang kabel elektrik menyebabkan tiang tersebut terbalik atas jalanraya.

“Pemandu lori bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.-K! ONLINE

The post Lima kampung putus bekalan elektrik tiga jam appeared first on Kosmo Digital.