Lelaki jatuh jambatan ditemui lemas

BAGAN DATUK – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Jambatan Sungai Sabak Bernam berhampiran Kampung Seri Perkasa, Hutan Melintang di sini semalam, ditemui lemas hari ini.

Mayat, T. Sreetharan, 45, ditemui pasukan bomba pada pukul 10.50 pagi kira-kira satu kilometer dari jambatan berkenaan.

Difahamkan, keluarga lelaki itu membuat laporan polis semalam selepas menjumpai selipar milik mangsa di atas jambatan kira-kira pukul 2 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang, Zulkaflee Abdullah berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan setelah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.10 pagi tadi.

Katanya, mangsa kemudiannya berjaya dijumpai dalam keadaan terapung tidak jauh dari lokasi kali terakhir dia dilihat.

“Mangsa dijumpa pada pukul 10.50 pagi kira-kira satu kilometer dari jambatan. Mayat mangsa dibawa naik ke tebing dan diserahkan kepada pihak polis.

“Operasi tersebut yang disertai tujuh anggota bomba selain tujuh anggota polis dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) ditamatkan pada pukul 1 petang,” katanya.-K! ONLINE

The post Lelaki jatuh jambatan ditemui lemas appeared first on Kosmo Digital.