Khayal dadah, lelaki lihat dua adik seperti jin

BUTTERWORTH: Dua beradik perempuan berdepan detik cemas selepas diugut bunuh oleh abang mereka dipercayai di bawah pengaruh dadah yang mendakwa melihat mereka seperti jin.

Kejadian itu berlaku di rumah keluarga berkenaan di Kampung Lebah Raja, Kepala Batas di sini malam tadi sehingga menyebabkan dua beradik perempuan berkenaan melarikan diri melalui pintu belakang rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu berlaku apabila suspek berusia 37 tahun secara tiba-tiba mengamuk sambil memegang besi panjang dan kayu di hadapan rumah mereka.

“Suspek menjerit dengan berkata ‘hampa (kamu berdua) setan (syaitan) dan memberitahu nampak kedua-dua adik perempuannya itu seperti jin sebelum mereka lari masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu.

“Dua beradik itu turut mendengar suspek menjerit suruh keluar sambil mengugut mahu membunuh mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, mangsa menghubungi polis yang tiba kira-kira 20 minit kemudian dan menahan suspek serta merampas sebatang besi sepanjang 122 sentimeter.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek yang memiliki tiga rekod berkaitan dadah itu mendapati dia positif syabu dan morfin,” katanya.

Suspek ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

The post Khayal dadah, lelaki lihat dua adik seperti jin appeared first on Utusan Digital.