Kedatangan pelancong di Kedah 70 peratus

ALOR SETAR: Kedatangan pelancong ke negeri ini dijangka merosot hingga 70 peratus selepas larangan merentas negeri berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula semalam hingga 26 Januari depan.

Pengurus Kedah Tourism, Nor Azlan Fitri Abdul Razak berkata, ketika ini terdapat banyak tempahan pakej percutian dan hotel dibatalkan terutamanya di Langkawi.

“Kalangan pelancong dari luar Kedah termasuk Lembah Klang dan Pulau Pinang terpaksa membatalkan tempahan ekoran larangan merentas negeri yang bermula semalam.

“Selain itu, pembatalan kursus, mesyuarat, seminar dan majlis-majlis keraian turut memberi kesan kepada pemilik hotel di Kedah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Nor Azlan berkata, pengurangan trip feri ke Langkawi turut memberi kesan terhadap kemasukan pelancong ke pulau legenda itu.

Menurutnya, sepanjang tempoh PKPB, terdapat hanya satu perjalanan dari jeti Kuala Kedah ke Langkawi manakala perkhidmatan feri di Kuala Perlis tidak beroperasi.

“Justeru ketika ini terdapat banyak promosi dilakukan oleh penggiat industri pelancongan terutamanya pemilik hotel bagi menarik penduduk Kedah bercuti dalam negeri di sepanjang tempoh PKPB ini.

“Malah ketika ini terdapat hotel-hotel yang menawarkan potongan hampir 50 peratus kepada penduduk Kedah,” katanya.

Tambahnya, dalam usaha menyokong usaha itu, Kedah Tourism juga giat mempromosikan kempen #JomMaiKedah melalui platform media sosial bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan mengambil peluang tersebut untuk melancong di negeri sendiri. -UTUSAN ONLINE

The post Kedatangan pelancong di Kedah 70 peratus appeared first on Utusan Digital.