Guan Eng beri keterangan di IPD Timur Laut

GEORGETOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini memberi keterangan kira-kira satu jam di ibu pejabat polis daerah (IPD) Timur Laut di sini berhubung dua kenyataan dibuatnya pada 2019. 

Guan Eng yang ditemani peguam, R.S.N Rayer dan Ramkarpal Singh tiba di IPD itu kira-kira pukul 2.30 petang sebelum keluar kira-kira pukul 3.35 petang. 

Bercakap kepada pemberita di pekarangan IPD sebelum memberi keterangan, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, beliau akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis berhubung siasatan tersebut.

Bagaimanapun, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan mempersoalkan mengapa beliau dipanggil memberi keterangan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Sedangkan, kata beliau, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sebarang bentuk mesyuarat tidak dibenarkan kerana melanggar arahan PKP. 

“Saya tidak ada masalah untuk hadir memberi keterangan, tetapi, sekiranya saya boleh dipanggil dalam tempoh ini, mengapa sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu digantung? 

“Itu bukan sahaja melanggar kewibawaan dan keunggulan Parlimen tapi turut mengancam demokrasi,” katanya.

Guan Eng sepatutnya memberi keterangan berhubung siasatan itu pada 24 Disember lalu namun dibatalkan selepas dipertikai kerana dipanggil sehari sebelum menjelang sambutan Hari Krismas. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan Guan Eng hadir memberi keterangan hari ini dan proses tersebut dijalankan oleh anggota polis dari Bukit Aman.  – UTUSAN ONLINE 

The post Guan Eng beri keterangan di IPD Timur Laut appeared first on Utusan Digital.