Bahagian kaki dipercayai milik mangsa disambar buaya ditemui

SAMARAHAN – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa disambar buaya di sini baru-baru ini telah menemui sebahagian penuh paha hingga pergelangan kaki kanan manusia dipercayai milik mangsa hari ini (14 Jan).

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, anggota badan tersebut telah ditemui di muara Sungai Samarahan pada pukul 12.05 tengahari.

“Jarak penemuan anggota badan tersebut adalah 15 kilometer dari pusat kawalan bomba (PKB) dan 7.5 kilometer dari lokasi mangsa diserang buaya,” katanya dalam satu laporan tadi (14 Jan).

Susulan penemuan bahagian badan manusia tersebut, pihak keluarga mangsa telah mengambil keputusan meyakini bahawa penemuan tersebut adalah milik mangsa.

Berikutan itu, operasi SAR yang diketuai oleh Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Ebby Hirwandy Sarbini telah ditamatkan pada pukul 1.45 petang hari ini.

Agensi lain yang terlibat dalam operasi tersebut adalah Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Persatuan Samarahan Crocodile Hunter serta penduduk-penduduk kampung.

Mangsa dikenal pasti sebagai Azyan Azhar, 28.

Selasa lalu, mangsa telah keluar rumah bersama bapanya, Azhar Razali, untuk pergi mencari rezeki hasil laut seawal pukul 3.45 pagi di sebuah sungai berdekatan Kampung Meranek di sini.

Ketika sedang menarik pukat sekitar pukul 4.15 pagi, bapa mangsa telah menyaksikan sendiri mangsa disambar seekor buaya dan hilang di dalam air. – K! ONLINE

The post Bahagian kaki dipercayai milik mangsa disambar buaya ditemui appeared first on Kosmo Digital.