Agong, Permaisuri santuni rakyat dilanda musibah

PEKAN: Sejak negara dilanda pandemik Covid-19 dan selepas itu musibah banjir, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah begitu fokus serta mengambil berat  soal keselamatan dan kebajikan rakyat. 

Apa yang terus menjadi keutamaan Seri Paduka adalah soal keselamatan dan kebajikan rakyat yang masih berdepan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat Covid-19 serta banjir. 

Buktinya, sejak negeri ini dilanda musibah banjir, Al-Sultan Abdullah berterusan menyantuni mangsa termasuk menaiki kenderaan mengharungi air bah dan meninjau situasi yang berlaku melalui udara. 

Terbaru semalam, Seri Paduka diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyantuni mangsa banjir di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini.

Walaupun dalam keadaan banjir yang masih berarus deras tidak menghalang Al-Sultan Abdullah untuk mendayung sendiri sampan bagi ke rumah penduduk yang terjejas di Kampung Tanjung Medang di sini. 

Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong berkenan pergi ke rumah mangsa yang ditenggelami banjir untuk bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan. 

Turut menaiki sampan, dua anakanda baginda iaitu, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah. 

Ketika di PPS Pulau Rumput, Seri Paduka sempat berseloroh dengan kanak-kanak yang menjadi mangsa banjir di situ dengan meminta mereka membuka bungkusan makanan yang berikan. 

Dalam lawatan itu, Raja Permaisuri Agong turut berkenan membantu memasak menu opor daging bersama penduduk terjejas yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Temai.

Kampung yang diziarahi Seri Paduka ialah Kampung Tanjung Medang, Kampung Acheh, Kampung Temai, Kampung Padang Rumbia, Kampung Pulau Rumput, Kampung Serambi dan Kampung Paloh Hinai.

Selain beramah mesra, sumbangan bekalan makanan untuk penduduk terjejas turut diagihkan bagi meringankan beban mereka yang terkesan. -UTUSAN ONLINE

The post Agong, Permaisuri santuni rakyat dilanda musibah appeared first on Utusan Digital.